[DIKEMASKINI] 14 orang asli di Rembau positif ILI
SEREMBAN - [DIKEMASKINI] Seramai 14 orang asli yang juga penghuni rumah kongsi di Kampung Kendong Baru, Rembau dekat sini dilaporkan positif wabak Influenza Like Illness (ILI).
Wabak itu dikesan selepas pemeriksaan dilakukan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan terhadap 23 pekerja ladang tembikai di kampung tersebut yang terdiri daripada 15 orang asli Jakun dari Pahang, lima warga Bangladesh dan tiga warga Indonesia.
Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr Zainuddin Mohd Ali berkata, saringan kesihatan dijalankan di rumah kongsi petang tadi selepas lima daripadanya dimasukkan ke wad Hospital Tampin.
“Hasil saringan kesihatan dijalankan kita mengesan 14 orang penghuni yang mempunyai gejala ILI iaitu demam, batuk dan selsema manakala seorang sahaja pesakit mengalami gejala sesak nafas.
"Lima orang asli termasuk dua beranak berusia 7 hingga 32 tahun dimasukkan ke Hospital Tampin namun keadaan mereka stabil dan tiada sebarang kematian direkodkan setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, sembilan lagi pekerja ladang itu kemudiannya diberikan rawatan pesakit luar ketika saringan kesihatan dijalankan di rumah kongsi tersebut.
"Kesemua kes yang dikesan berada dalam keadaan stabil dan rawatan susulan di lapangan akan dijalankan secara harian. Bagaimanapun, kita dapati bekalan air dan persekitaran termasuk tandas dan tempat pembuangan sampah adalah tidak sempurna.
"Beberapa sampel klinikal turut diambil dan dihantar ke makmal untuk ujian pengesahan sebelum laporan diperoleh dalam tempoh dua minggu," katanya.
Dr Zainuddin berkata, pengurusan syarikat perladangan itu sudah dimaklumkan supaya mengambil tindakan segera membaiki bekalan air dan melakukan pembersihan sekitar di rumah kongsi itu.
“Kejadian ini dimaklumkan kepada Jabatan Kesihatan Pahang untuk siasatan lanjut di Kampung Tanjung Kelapa di Pekan, Pahang terutama kampung asal pekerja orang asli tersebut.
“Salur pernafasan adalah sangat mudah untuk berjangkit. Oleh itu, penularan menjadi lebih mudah berlaku di tempat yang padat seperti sekolah, asrama, tempat kerja tertutup, institusi latihan dan kem-kem latihan tentera dan polis,” katanya.
Dalam pada itu, kesemua orang asli itu baru berpindah ke Rembau pada 5 Jun lalu untuk bekerja di ladang tembikai berkenaan bersama lapan pekerja warga asing lain dan tinggal di dalam rumah kongsi sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!